Isnin, 5 Mac 2012

AS SYIFA' IALAH ALLAH SWT.


         Kehidupan ini adalah kurnianya. Allah swt telah menciptakan manusia dalam bentuk dan merupakan yang sempurna dan elok. Asal kejadian manusia itu adalah daripada tanah dan tubuh manusia itu sempurna di jadikan Allah swt. Maka ditiupnya roh kehidupan kedalamnya sehingga jadilah manusia itu dengan keadaannya yang hidup dan sempurna serta berfikiran dan mempunyai sifat-sifat yang giat. Maka kekuasaan yang dikurniakan Allah swt kepada manusia itulah yang dinamakan kehidupan. Kehidupan itupun menjadi sel di tubuh kita daripada sel-sel yang berjuta-juta itu pula tersusun anggota-anggota seluruh badan manusia itu. Manusia telah mencurahkan segenap akal fikirannya untuk menyingkap takdir rahsia kehidupan itu namun sia-sia belaka.
 Ahli sains kimia telah dapat diperbaiki keadaan sel-sel dalam tubuh yang hidup. Telah banyak sel-sel yang lemah diperkuatkan oleh mereka itu dengan biakan dengan zat-zat makanan. Akan tetapi hanya oleh kehidupan yang asli dalam sel-sel diadakannya pertukaran zat, dilakukannya berbagai-bagai pekerjaan dan lagi sebab kehidupan itu saja sel-sel dapat berkembang biak. Ada pun tenaga pekerjaan ini asalnya dari Allah swt apabila kekuasaan yang menghidupkan sel-sel ini meninggalkan manusia, maka matilah ia. Tiada sekali-kali Pengetahuan dan kepandaian manusia dapat mengembalikan kehidupan itu lagi. Mereka boleh mencuba dengan mengepam udara menggunakan peralatan sains yang canggih ke dalam paru-paru orang yang telah mati itu, tetapi yang mati tidak akan bernafas lagi, jikalau roh kehidupan itu telah meninggalkannya.

Ada pun sebab kita jatuh sakit ialah kerana beberapa sel yang sangat penting untuk tubuh kita itu mati dan alat-alat di dalam tubuh kita mendapat gangguan dalam tugasnya. Oleh sebab itu, selagi se-sel itu masih hidup dapatlah kita memperkuatkan serta memperbaiki pertumbuhannya dan memperkembang biakan. Hendaklah kita ketahui bahawa doktor-doktor dan jururawat-jururawat mengantung harapan mereka tentang penyembuhan si pesakit itu pada kekuasaan dan tenaga di dalam tiap-tiap tubuh. Tenaga ini adalah kurnia dari Allah swt. Kebanyakkan orang menyangka bahawa doktor-doktor atau ubat-ubat yang diberikan kepada pesakit mempunyai cukup kekuasaan untuk menyembuhkan pesakit, tetapi nyatalah persangkaan itu adalah salah. Sebenarnya kekuasaan kehidupan yang diberikan Allah swt ke dalam sel-sel kita, seperti yang disebutkan tadi, itulah yang menyembuhkan pesakit kita semenjak dahulu sekarang. Kekuasaan yang menyembuhkan itu bukanlah hasil kemajuan ilmu sains kedoktoran, melainkan memang sudah ada sejak manusia mendiami bumi. Kita hanya dapat memperbaiki kepandaian dan membantu hidup ini dengan pengetahuan kita tentang ilmu sains kedoktoran dan kesihatan. Jelaslah bahawa hanya Allah swt yang menyembuhkan segala penyakit. Jadi berdosalah kita berpendapat bahawa manusialah makhluk yang menyembuhkan kita. Disini timbulnya satu pertanyaan : apakah gunanya lagi doktor dan jururawat atau ubat jikalau hanya Allah swt saje yang menyembuhkan segala penyakit? Marilah kita sama-sama berbincang dan menjawab persoalan ini! 

PERAWATAN

Adapun cara rawatan  yang biasa diamalkan oleh Rasulullah saw. 3 jenis:
1) Dengan bahan-bahan Alamiyah 
2) Dengan penyembuhan Ilahiyah
3) Gabungan dari kedua-dua cara tersebut
Selanjutnya kita akan memperinci cara tersebut tadi satu persatu. Pertamanya kita akan membicarakan cara rawatan dengan bahan-bahan alamiyah. Lalu dengan penyembuhan ilahiyah dan terakhir dengan gabungan kedua-duanya. Sesungguhnya tujuan diutusnya Rasulullah saw adalah sebagai pemberi petunjuk dan penyeru kepada Allah swt dan kepada syurganya. Juga untuk memberitahu dan mengajar tentang sifat-sifat Allah swt yang wajib, jaiz (harus) dan mustahil, serta menjelaskan hal-hal yang diredhai Allah swt dan perintahnya kepada mereka dan hal-hal yang menjadikan Allah swt murka dan larangan-larangannya kepada mereka. Selain itu baginda saw juga membawa berita-berita tentang para nabi dan rasul as pada zaman dahulu kala serta umat-umat dan alam akhirat, jiwa yang bahagia dan yang celaka serta sebab-sebabnya. Ada pun rawatan badan itu adalah hanya sebagai pelengkap dari syariatnya yang sempurna, yang dikerjakan dikala perlu sahaja. Sedangkan tujuan utamanya adalah menyembuhkan penyakit kalbu dan jiwa, memelihara kesihatan dan mencegahnya dan segala apa yang merosakkan. Inilah tujuan utama. Penyembuhan badan tanpa diiringi penyembuhan kalbu, tidak akan berguna sama sekali. Biasanya badan dengan kalbu yang baik itu mudharatnya sedikit dan akan hilang lalu diganti dengan manfaat yang berterusan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan